KEPENTINGAN PENDIDIKAN DALAM HUBUNGAN ETNIK
PENGENALAN
Hubungan etnik adalah antara isu yang paling penting dalam sejarah
pembentukan negara-negara Malaysia (Askandar, 2007). Sehubungan dengan itu,
pendidikan merupakan tiang asas dalam proses penyatuan bagi merialisasikan
aspirasi negara Malaysia bagi mewujudkan dan meningkatkan perpaduan kaum
dalam kalangan masyarakat berbilang etnik negara ini. Tidak dapat dinafikan
lagi bahawa pendidikan dari peringkat rendah ke paling tinggi memainkan
peranan yang amat penting dalam pembentukan perpaduan. Oleh itu, pendidikan
adalah faktor unggul kepada perpaduan negara dan pendidikan patut bermula
sejak dari generasi muda lagi bak peribahasa "Melentur buluh biarlah dari
rebungnya".
Jika dikaitkan dengan konsep Satu Malaysia yang berasaskan prinsip
"Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" diperkenalkan oleh Perdana
Menteri keenam iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2 April 2009, gagasan
ini diwujudkan adalah untuk memupuk perpaduan kaum dalam kalangan
masyarakat berbilang etnik di Malaysia. Oleh itu, nilai-nilai yang penting
seharusnya diterapkan dan dijadikan amalan oleh masyarakat berbilang etnik
dalam negara ini.
Mari mengimbas kembali rentetan peristiwa 13 Mei, adakah kita mahu
peristiwa tersebut berulang lagi? Tepuk dada tanya selera. Maka, kursus-
kursus seperti hubungan etnik patut diperkenalkan kepada masyarakat melalui
saluran pendidikan kerana kursus-kursus seperti inilah yang menekankan
perdamaian supaya nilai ini dapat diterapkan dan menjadi cara hidup
masyarakat pelbagai etnik.
Justeru, pendidikan yang diperkenalkan oleh kerajaan sememangnya
menampakkan hasil. Perdana Menteri kita yang keempat, Tun Dr. Mahathir
Mohamad, sikapnya yang rajin membaca dan mengkaji bahan sejarah serta
berjaya menaikkan nama negara Malaysia ke persada dunia seharusnya menjadi
contoh masyarakat di Malaysia.
OBJEKTIF
1. Mengenal pasti jenis-jenis pendidikan sebelum dan selepas Merdeka.
2. Mengenal pasti kesan perlaksanaan Pendidikan Kebangsaan kepada
Hubungan Etnik
3. Melihat cabaran yang dihadapi dalam perlaksanaan pendidikan dalam
mengecap perpaduan.
4. Mengukuhkan kesepaduan dalam hubungan berbagai etnik.
5. Menghargai dan menanam semangat patriotism dalam diri masyarakat
berbilang etnik.
SEJARAH PENDIDIKAN SEBELUM KEMERDEKAAN
Sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan, penjajah berperanan utama dalam
menentukan hala tuju sistem pendidikan. Pihak British melaksanakan dasar
pecah dan perintah dengan mengasingkan etnik mengikut komuniti masing-
masing. Tujuannya adalah untuk mengelakkan konflik antara satu sama lain
dan wujud satu sistem yang dikenali sebagai sistem vernakular. Sekolah
dibina di kawasan tertentu seperti di ladang, kampung dan bandar mengikut
tempat tinggal setiap etnik. Ini menyebabkan 4 buah jenis sekolah di Tanah
Meayu telah ditubuhkan iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Cina, Bahasa Tamil dan
Bahasa Inggeris. Sistem vernakular ini tidak menyediakan pelajaran
vokasional dan teknikal kepada para pelajar.
Pendidikan Melayu dibentuk bersesuaian dengan sistem komuniti Melayu.
Pada peringkat awal, dua bentuk sekolah telah dibina. Pertama, persekolahan
secara tidak formal, iaitu sekolah pondok. Sekolah ini turut menyediakan
pengajaran di peringkat rendah dan menengah. Kedua, di sekolah vernakular
Melayu yang didirikan oleh kerajaan British, bahasa Melayu dikekalkan
sebagai bahasa pengantar dan tumpuan lebih kepada perkara asas seperti
membaca, mengira, menulis, ilmu pertukangan, anyaman dan pertanian bagi
memenuhi kehendak kehidupan luar bandar (Chelliah, 1940). Lepasan sekolah
Melayu yang berkelayakan akan menyambung pelajaran ke Maktab Perguruan
Sultan Idris (MPSI). Walaubagaimanapun, mereka tidak berpeluang untuk
menjawat jawatan tinggi disebabkan kelayakan yang rendah berbanding dengan
mereka yang berkelulusan sekolah Inggeris.
Komuniti Cina telah menubuhkan sistem pendidikan tersendiri yang lebih
menjurus kepada pendidikan Cina klasik. Sukatan pelajaran pendidikan lebih
kepada pemahaman penulisan Cina klasik (Loh, 1975). Dasar laissez-faire
British membuka peluang kepada penubuhan sekolah vernakular Cina yang
menerapkan nilai-nilai kecinaan seperti bahasa Cina dikekalkan sebagai
bahasa pengantar, sukatan pelajaran, guru dan buku teks adalah berdasarkan
negara China. Tujuan penubuhan sekolah berkenaan adalah untuk mengekalkan
identiti komuniti Cina di Tanah Melayu agar tidak terpisah dengan negara
asal. Sekolah itu juga turut menyediakan pelajaran di peringkat sekolah
rendah dan menengah (Thock, 2005).
Menurut Paul Chang, Ming Phang, sejarah sebenar pendidikan Tamil di
Tanah Melayu bermula dengan perkembangan hasil tanaman. Kebanyakan sekolah
ini merupakan hasil usaha persendirian. Pada tahun 1905 terdapat 13 buah
sekolah Tamil (kerajaan) dan 4 buah sekolah Tamil persendirian di Negeri-
negeri Melayu Bersekutu. Pada tahun 1923 Kerajaan British memperkenalkan
Kanun Buruh yang memaksa pihak pengurusan ladang untuk mendirikan sebuah
sekolah sekiranya terdapat lebih daripada 10 orang anak buruh yang berumur
di antara 7-14 tahun. Sekolah-sekolah ini hendaklah dibiayai oleh pihak
pengurusan ladang. Mutu pelajaran Tamil adalah rendah kerana kekurangan
guru terlatih. Pada tahun 1920-an, kerajaan British mula mengawal sekolah-
sekolah Tamil.
Pendidikan Inggeris mula berkembang di Tanah Melayu setelah penubuhan
Penang Free School pada tahun 1816. Pada peringkat awal, sekolah ini
dikuasai oleh para mubaligh Kristian dan Bahasa Inggeris telah dijadikan
sebagai bahasa pengantar utama. Ramai komuniti Cina dan India telah
memasuki sekolah tersebut manakala bagi komuniti Melayu pula, kelas atasan
lebih diberikan keutamaan (Chelliah, 1940). Para pelajar lepasan sekolah
ini berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Mereka juga berkebolehan untuk memegang jawatan tertentu dalam pentadbiran
British.
Pendidikan di Sabah tidak begitu maju. Sekolah Inggeris telah
dikelolakan oleh gereja katolik yang telah dibuka di Sandakan 1883. Pada
tahun1909, jabatan pelajaran ditubuhkan untuk mengawasi sekolah-sekolah dan
dibiayai oleh badan persendirian seperti mubaligh Kristian dan pertubuhan
Cina. Pada tahun 1952, satu maktab perguruan di Tuaran telah ditubuhkan.
Berdasarkan Laporan Woodhead yang diterbitkan pada tahun 1955, cadangan ini
adalah untuk meningkatkan mutu pendidikan sekolah rendah, menengah,
vokasional dan kelas dewasa di bawah satu sistem pendidikan yang bersepadu.
Di Sarawak, sekolah mubaligh dan cina telah dibuka dan dikelolakan
oleh misi mubaligh dan pertubuhan komuniti cina. Antara sekolah mubaligh
yang paling awal dibuka ialah St. Thomas dan St. Joseph. Sekolah Melayu
pula dibuka atas bantuan kerajaan. Berdasarkan Laporan Mclellan, sekolah
cina ditukar bahasa pengantar secara berperingkat kepada satu bahasa
pengantar umum iaitu bahasa Inggeris dan semua sekolah harus menggunakan
kurikulum yang sama bagi membolehkan murid-murid daripada semua keturunan
etnik belajar bersama-sama dengan menggunakan bahasa Inggeris sebagai
bahasa pengantar.
SEJARAH PENDIDIKAN SELEPAS KEMERDEKAAN
Laporan Rahman Talib digunakan untuk memantau Ordinan Pelajaran 1957.
Terdapat beberapa isi kandungan laporan ini contohnya, bahasa kebangsaan
ialah bahasa perantaraan di Malaysia. Bahasa kebangsaan hendaklah
dipraktikkan di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan juga
universiti. Semua peperiksaan am akan menggunakan satu bahasa rasmi di
peringkat sekolah menengah. Selain itu, pendidikan teknik dan vokasional
ditekankan demi memupuk minat masyarakat Melayu untuk melibatkan diri dalam
bidang ini. Akhir sekali, semangat saling menghormati dipupuk dalam diri
masyarakat dengan menekankan pendidikan moral dan keagamaan. Laporan ini
menjadi asas kepada penggubalan Akta Pendidikan 1961. Pada Ogos 1960,
laporan ini telah diluluskan dan juga telah dimasukkan dalam Akta
Pendidikan 1961 pada Oktober 1961 (Shamsul Amri Baharuddin, 2012).
Terdapat dua jenis sekolah yng ditanggung oleh kerajaan di Malaysia
iaitu Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan. Kedua-dua sekolah
ini berbeza dari segi bahasa pengantara yang digunakan. Namun, kokurikulum
di kedua-dua jenis sekolah ini adalah sama. Kini, pembaharuan dilakukan
bagi memupuk semangat saling menghormati antara etnik seperti, Sekolah
Kebangsaan juga memperkenalkan subjek bahasa-bahasa lain agar masyarakat
yang berbilang bahasa mendapat peluang mempelajari bahasa etnik yang lain.
Dengan cara ini, perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dapat
dieratkan di samping mengelakkan terjadinya pemisahan kelompok ras.
Sekolah menengah terbahagi kepada dua iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan
Kerajaan dan juga Sekolah Jenis Kebangsaan Cina atau Tamil. Sekolah
Menengah Kebangsaan merangkumi beberapa jenis sekolah seperti Sekolah
Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Sekolah Agama,
Sekolah Seni dan Sukan, Sekolah Teknik dan Vokasional, Sekolah Kluster dan
juga Sekolah Menengah Harian (Shamsul Amri Baharuddin, 2012). Perpaduan
juga dipupuk dalam masyarakat pelbagai etnik dalam sekolah-sekolah. Ambilan
pelajar ke SBP agak terhad berbanding sekolah harian dan ambilan pelajar
juga telah dibuka kepada pelajar bukan Melayu. Pelajar bukan Melayu dapat
mempelajari cara hidup dan memahami amalan pelajar Melayu di SBP dengan
baik kerana masa yang diluangkan di sekolah lebih lama berbanding sekolah
harian. Hal seperti ini menjadikan sikap hormat-menghormati budaya dan
amalan etnik yang lain telah dipupuk sejak di bangku sekolah lagi sekali
gus menguatkan lagi perpaduan di negara kita.
Sekolah Wawasan merupakan sekolah rendah yang bermatlamat bagi
membolehkan pelajar dari berbagai etnik untuk belajar bersama-sama.
Objektif konsep Sekolah Wawasan adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia
yang mencintakan negara melalui sistem pendidikan yang seragam. Ini bagi
memudahkan pertembungan antara etnik berlaku dengan cara semula jadi.
Terdapat beberapa tujuan perwujudan Sekolah Wawasan. Antaranya ialah
mewujudkan perpaduan di kalangan pelajar yang terdiri daripada pelbagai
etnik, aliran dan latar belakang. Selain itu, generasi yang bersifat
toleransi dan mempunyai kesefahaman yang tinggi mengenai budaya lain dapat
dilahirkan bagi mewujudkan negara yang bersatu padu. Juga menggalakkan
interaksi yang maksimum antara semua warga sekolah melalui pengkongsian
kemudahan sekolah dan perlaksanaan aktiviti-aktiviti lain di sekolah
(Kementerian Pelajaran, n.d).
Di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan, program Pembangunan Modal
Insan telah diperkenalkan. Program Pembangunan Modal Insan dalam Sains,
Teknologi dan Inovasi bertujuan untuk meningkatkan kemahiran teknikal,
kreativiti serta inovasi dalam sumber manusia bagi memacu ekonomi
berasaskan pengetahuan. Objektif Pembangunan Modal Insan ialah untuk
menentukan kualiti modal insan selaras dengan keperluan pembangunan ekonomi
negara. Program ini turut berfungsi dengan mengenal pasti dan menganalsis
isu-isu berkaitan pembangunan modal insan dan pasaran buruh serta
mengemukakan cadangan untuk menanganinya. Selain itu, program ini turut
menggubal dasar dan strategi pendidikan, latihan dan pembelajaran sepanjang
hayat untuk memastikan sistem penyampaian menyediakan modal insan
berkelayakan tinggi yang mencukupi bagi memastikan kemampanan pertumbuhan
dan daya saing ekonomi.
Program ini menggubal dasar dan strategi berpendudukan tenaga buruh
serta guna tenaga untuk meningkatkan penggunaan tenaga kerja tempatan dalam
memastikan keberkesanan dan kecekapan fungsi tenaga buruh (Unit Perancang
Ekonomi, 2014). Bagi menjana sumber manusia yang efektif, ini telah
dibentangkan di peringkat universiti awam dan swasta dengan matlamat
sebagai aset terpenting negara. Oleh yang demikian, golongan intelek
merumuskan bahawa mahasiswa-mahasiswa di Malaysia adalah sasaran utama
justeru, mereka dilihat sebagai pelapis yang dapat mewarisi masa depan
negara pada suatu hari nanti. Agenda ini turut bertujuan untuk memanfaat
dan memaksima potensi mereka dengan sepenuhnya bagi memenuhi keperluan
negara.
Pada tahun 2010, Kementerian Pelajaran Malaysia telah melancarkan
Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris
(MBMMBI). Ini bertujuan untuk memperkasakan penggunaan bahasa Malaysia
sebagai bahasa pengantar di semua sekolah kebangsaan dan sekolah menengah
sambil memastikan bahasa bahasa Inggeris dikuasai dan digunakan dengan
fasih dan betul. Lima buah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus
Bahasa Inggeris khusus telah diwujudkan dengan persetujuan Pihak
Kementerian untuk melatih guru-guru bahasa Inggeris. Penempatan guru-guru
bahasa Inggeris terbaik dan guru-guru yang akan diambil dari luar negara di
kawasan luar bandar oleh Kementerian secara dasarnya telah bersetuju. Ini
bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar luar bandar. Bagi
kelas yang melebihi 35 pelajar, jawatan pembantu guru bahasa Inggeris akan
diwujudkan. Tumpuan yang lebih mampu diberi kepada pelajar-pelajar yang
lemah dalam penguasaan bahasa Inggeris. Mereka boleh dibimbing dan
membolehkan mereka menguasai bahasa Inggeris dengan lebih baik.
KESAN PERLAKSANAAN PENDIDIKAN KEBANGSAAN KEPADA HUBUNGAN ETNIK.
Pendidikan adalah medium terpenting bagi memupuk perpaduan kaum dari
sebelum merdeka sehingga kini. Melalui pendidikan juga, sesuatu bahasa
dapat dipertahankan dan disebabkan hal ini, terdapat kesukaran dalam
membentuk pendidikan kebangsaan kerana setiap etnik ingin mengekalkan
bahasa ibunda masing-masing. British telah menjalankan dasar pecah dan
perintah yang telah menyebabkan kesukaran untuk melaksanakan pendidikan
kebangsaan.
Pendidikan vernakular telah menghasilkan etnik yang ingin
mempertahankan bahasa ibunda masing masing dan jauh daripada perpaduan
kaum. Oleh itu, pelbagai laporan dan cara telah dilakukan bagi memupuk
sikap perpaduan antara kaum. Laporan Barnes menganjurkan agar sekolah
vernakular dimansuhkan dan digantikan dengan pendidikan kebangsaan serta
mewajibkan pengunaan bahasa Melayu dan Inggeris sebagai bahasa pengantar.
Di peringkat menengah pula, bahasa Inggeris dikekalkan sebagai bahasa
pengantar (Fennell, 1968). Laporan ini ditentang dan wujudnya Laporan Fenn
Wuu yang lebih memihak kepada kaum cina.
Ordinan Pelajaran pula menekankan tentang dua jenis pendidikan
kebangsaan iaitu Melayu dan Inggeris manakala India dan Cina pula mengikut
permintaan ibubapa dengan syarat 15 orang dalam kumpulan yang sama.
Laporan Razak pula memartabatkan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan.
Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar di sekolah rendah dan sekolah
menengah serta ke peringkat universiti dan bahasa Cina, Tamil serta
Inggeris akan digunakan sebagai bahasa pengantar di sekolah jenis
kebangsaan. Untuk menjayakan lagi perpaduan kaum, bahasa melayu dijadikan
sebagai kursus wajib untuk semua pelajar.
Kesan daripada pendidikan kebangsaan bagi memupuk perpaduan kaum telah
mewujudkan dua jenis sekolah iaitu sekolah kebangsaan dan sekolah jenis
kebangsaan. Peluang mempelajari bahasa asing di peringkat rendah telah
membuka minda dan persefahaman tentang kaum masing-masing. Perlaksanaan
Program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) di peringkat
menengah telah menggalakkan percampuran etnik yang berbeza dari pelbagai
segi. Struktur pendidikan yang unik telah membawa kepada pencapaian
perpaduan kaum antara etnik serta menggalakkan perkembangan pendidikan
(Musa, 2012).
CABARAN YANG DIHADAPI DALAM PENDIDIKAN
Pendidikan adalah antara satu wadah penting dalam mencapai kesepaduan
kaum di kalangan golongan muda terutamanya pelajar. Di Malaysia terdapat
pelbagai sistem pendidikan yang berkait rapat dengan kesepaduan sosial
misalnya dari segi penggunaan bahasa pengantar dan kurikulum (Baharuddin,
2012) . Kepelbagaian dalam sistem pendidikan memberi cabaran dalam
pelaksanaan sistem tersebut.
Terdapat sistem pendidikan di negara ini yang memperlihatkan dominasi
mengikut kepentingan etnik masing-masing (Fernandez, 2011). Sebagai
contohnya pelajar Melayu yang belajar di sekolah Melayu sememangnya
menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan. Begitu juga dengan
etnik India dan Cina. Ini menyebabkan pelajar terpisah mengikut bahasa
ibunda mereka dan wujud cabaran dalam membentuk kesatuan dalam sistem
pendidikan (Nusi, 2012).
Terdapat beberapa tuntutan dari politik Cina untuk mengekalkan,
memelihara dan mengembangkan sekolah jenis kebangsaan Cina iaitu tiga rukun
politik Cina. Persatuan Guru-Guru di Sekolah Cina Kuala Lumpur telah
mengemukan satu memorandum iaitu "Memorandum Pendidikan Pesatuan" untuk
menggesa Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina di negeri lain menyokong
tindakan mereka. Tuntutan mereka adalah agar bahasa Cina, bahasa Tamil,
bahasa Inggeris dan bahasa Melayu dilayan sama rata dan tersenarai sebagai
bahasa rasmi. Selain itu, pendidikan Cina juga harus dijadikan sebagai
salah satu aliran pendidikan negara (Baharuddin, 2012) .
Antara cabaran lain dalam bidang pendidikan adalah perbezaan bahasa,
kebudayaan, kepercayaan dan keturunan menjadi cabaran terhadap bidang
pendidikan (Nusi, 2012). Hal ini kerana disebabkan perbezaan kaum mereka
dengan kaum yang lain mewujudkan kesukaran dalam menerima perubahan yang
dilaksankan kerajaan dalam dasar pendidikan (Nusi, 2012). Mereka menyangka
dasar perubahan dalam bidang pendidikan ini akan menyebabkan mereka
terpaksa menurut setiap adat dan unsur dari kaum lain. Hal ini akan
mengikis adat kaum mereka sendiri (Fernandez, 2011).
Konklusinya, setiap etnik harus bersatu padu dan bertolak ansur agar
kesepaduan dalam sistem pendidikan dapat dicapai. Masa depan generasi baru
amat bergantung pada pendidikan yang mereka dapat dan ini membantu dalam
pembentukan generasi pelapis yang akan mengekalkan perpaduan etnik di
Malaysia untuk masa hadapan.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, pendidikan adalah agen penting dalam menyatupadukan
kaum-kaum di Malaysia. Walaupun terdapat pelbagai jenis aliran atau sekolah
yang wujud di negara ni, dapat dilihat dengan jelas hubungan di antara
etnik-etnik di negara Malaysia semakin kukuh. Interaksi diantara pelajar
yang datang daripada pelbagai kaum telah memantapkan persefahaman di antara
kaum. Interaksi yang telah berlaku akan membantu seseorang pelajar
mengenali dan memahami adat resam dan budaya rakannya yang berasal dari
bangsa lain. Ini sekaligus akan mendidik pelajar supaya menghormati kaum
lain dan menjauhi sikap diskriminasi terhadap kaum lain. Dengan mengukuhkan
hubungan kaum melalui pendidikan, kerajaan Malaysia akan dapat mencapai
matlamat gagasan 1Malaysia.
RUJUKAN
Abdullah, M. R. T. (2010). Cabaran Integrasi Anatara Kaum Di Malaysia:
perspektif sejarah, keluarga dan pendidikan. Jurnal Hadhari, 2(1), 61-
84.
Andaya, B. W dan Andaya, L. Y. (2001). A History of Malaysia. Honolulu:
Universiti Hawaii Press.
Askandar, K. (2007). Perpaduan dan Perdamaian Etnik.
Baharuddin, S. A. (2007). Modul hubungan etnik. Shah Alam: Pusat Penerbitan
Universiti (UPENA), Universiti Teknologi MARA.
Fernandez, J. H. (2011). Hubungan Etnik di Malaysia. Dipetik daripada,
http://joehoze.blogspot.com/2011/10/hubungan-etnik-di-
malaysia.htm
Harris Jadi. (1990). Etnik, Politik dan Pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
http://bukitserabut.blogspot.my/2011/04/dasar-pendidikan-di-malaysia-
pra.html
Ishak Saat. (2009). Pendidikan Negara Bangsa. Shah Alam; Karisma
Publications Sdn. Bhd.
Kementerian Pelajaran. (n.d). Sekolah Wawasan. Dipetik daripada,
pmr.penerangan.gov.my/index.php/pendidikan/1199-sekolah-wawasan.html
Nusi, K. (2012). Integrasi Dan Perpaduan Kaum Melalui Dasar Pendidikan.
Dipetik daripada http://kasturinusi.blogspot.my/2012/05/integrasi-dan-
perpaduan-kaum-melalui.html
Shamsul Amri Baharuddin. (2012). Modul Hubungan Etnik Edisi Kedua. UKM
Bangi, Selangor: Institut Kajian Etnik.
Shiamala Danabalan. (2012). Sistem Pendidikan Malaysia dan Perpaduan Kaum.
Unit Perancang Ekonomi. (2014). Pembangunan Modal Insan. Dipetik daripada,
www.epu.gov.my/pembangunan-modal-insan
Zaireey Khairuddin. (2013). Ringkasan Pelan Pembangunan Pendidikan. Dipetik
daripada, www.zairedin.com/2013/09/ringkasan-pelan-pembangunan-
pendidikan_8.html?m=1