EKONOMI DALAM PENGURUSAN AWAM
PENGENALAN
Ungkapan "tuntutlah ilmu hingga ke negara China" sering kali dijadikan sebagai falsafah bagi mencapai kemajuan dan kecemerlangan dalam kehidupan. Jika dilihat pada masa kini, menuntut ilmu sehingga ke menara gading bukan lagi satu kebanggaan tetapi telah menjadi tuntutan dan keperluan bagi seseorang individu dalam memantapkan sekali gus memajukan taraf pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi. Selain itu, melalui pendidikan seseorang individu itu mampu mengubah taraf hidupnya daripada yang kurang baik ke arah yang lebih baik.
Jika dilihat pada masa kini, ramai pelajar telah menjadikan universiti sebagai tempat yang harus dituju sehinggakan ia dianggap sebagai satu kemestian bagi menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi setelah menamatkan pengajian di peringkat sekolah. Secara positifnya, keadaan ini dilihat sebagai satu trend yang sihat di samping memberikan impak yang baik bukan sahaja kepada masa depan pelajar itu sendiri malah turut memberi impak kepada masa depan pembangunan negara khususnya dalam pertumbuhan ekonomi. Hal ini kerana, dengan memiliki pelajar yang berpendidikan, ekonomi sesebuah negara itu akan berada dalam landasan yang teguh melalui pulangan yang diberikan oleh pelajar itu sendiri setelah menamatkan pengajiannya dan mempunyai pekerjaan yang baik.
Namun begitu, tidak semua pelajar yang telah mendapat pendidikan di peringkat yang lebih tinggi mampu memberikan pulangan yang baik. Hal ini disebabkan oleh kegagalan mereka mendapat pekerjaan setelah menamatkan pengajian. Lebih ironinya, keadaan tersebut bukan sahaja membawa kesan yang negatif terhadap diri sendiri malah turut memberikan impak yang buruk kepada pertumbuhan ekonomi. Bertitik tolak daripada kegagalan graduan untuk memperoleh pekerjaan, maka fenomena pengangguran secara tidak langsung menjadi satu kebiasaan dalam sesebuah negara yang sudah semestinya merencatkan pembangunan negara tersebut.
ISU PENGANGGURAN
Isu pengangguran bukanlah satu isu yang baru kerana hampir setiap negara yang maju dan membangun, masing-masing mengalami isu yang sama. Permasalahan ini sering dibahaskan berikutan dengan kesan negatif yang dibawa oleh isu tersebut. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), perihal penganggur adalah di mana keadaan seseorang itu tidak mempunyai pekerjaan disebabkan oleh kesukaran untuk mendapat kerja atau akibat dari pengurangan pekerja oleh kerajaan dan disebabkan keadaan cuaca yang tidak membolehkan sesuatu pekerjaan dilaksanakan. Slamon (1999) pula memberikan definisi penganggur sebagai mereka yang tidak bekerja walaupun berusia dalam lingkungan umur orang bekerja tetapi mereka sedia ada untuk bekerja mengikut kadar gaji semasa.
Bagi Jabatan Perangkaan Malaysia pula dalam "Perangkaan Tenaga Buruh, Malaysia Jun 2013", definisi yang lebih khusus diberikan untuk mendefinisikan penganggur. Menurut jabatan tersebut, penganggur diklasifikasikan kepada dua kumpulan yang berbeza iaitu yang dikenali sebagai Penganggur Aktif dan Penganggur Tidak Aktif. Penganggur Aktif dikategorikan sebagai orang yang tidak bekerja semasa minggu rujukan tetapi bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan dalam minggu tersebut. Manakala Penganggur Tidak Aktif pula didefinisikan sebagai:-
Mereka yang tidak mencari pekerjaan dalam minggu rujukan kerana percaya tidak terdapat pekerjaan ataupun tidak berkelayakan
Mereka yang mungkin mencari pekerjaan jika tidak kerana sakit atau cuaca buruk
Mereka yang menunggu jawapan permohonan pekerjaan dan;
Mereka yang telah mencari pekerjaan sebelum minggu rujukan.
Selain itu, menurut Nanga (2005) pula, beliau memberikan definisi pengangguran sebagai suatu keadaan di mana seseorang yang tergolong dalam kategori tenaga buruh tidak memiliki pekerjaan dan secara aktif tidak mencari pekerjaan. Bagi Sukirno (2004), pengangguran adalah jumlah tenaga kerja dalam perekonomian yang secara aktif mencari pekerjaan tetapi belum memperolehinya. Manakala International Labor Organization (ILO) memberikan pengertian pengangguran sebagai:
Pengangguran terbuka adalah seseorang yang termasuk kelompok penduduk usia kerja selama tempoh tertentu, dan bersedia menerima pekerjaan, serta sedang mencari pekerjaan
Setengah pengangguran terpaksa adalah seseorang yang bekerja sebagai buruh dan karyawan dan pekerja mandiri (berusaha sendiri) yang selama tempoh tertentu secara terpaksa bekerja kurang dari jam kerja norma, yang masih mencari pekerjaan lain atau masih bersedia mencari pekerjaan lain atau tambahan
Banyak tokoh-tokoh ekonomi seperti di atas masing-masing mendefinisikan istilah penganggur, dan kebanyakan daripada mereka bersetuju untuk mendefinisikan penganggur sebagai seseorang yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan sama ada sedang mencari pekerjaan ataupun malas untuk bekerja.
Isu pengangguran yang juga telah dianggap sebagai isu global ini semakin hari semakin berada dalam keadaan yang sangat membimbangkan. Hampir setiap tahun, kadar pengangguran di negara-negara maju dan membangun semakin menjangkaui paras kritikal. Peratusan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia menerusi Laporan Ekonomi Tahun 2000 menunjukkan peningkatan kadar pengangguran di Malaysia seperti yang ditunjukkan dalam jadual di bawah.
BUTIR
1996
1997
1998
1999
2000
Jumlah tenaga buruh
('000)
8 6414
9 083.2
8 880.9
9 010.0
9 194.0
Jumlah guna tenaga
('000)
8 426.5
8 817.4
8 596.9
8 741.0
8 928.0
Jumlah pengangguran
('000)
214.9
220.8
284
269
266
Kadar pengangguran
(%)
2.5
2.4
3.2
3.0
2.9
Jadual 1: Kadar Peningkatan Pengangguran (2000)
Berdasarkan kepada rumusan jadual di atas yang menunjukkan kadar pengangguran,jelaslah bahawa kadar pengangguran di Malaysia juga tidak terkecuali daripada menjangkaui paras kritikal. Peningkatan kadar pengangguran ini adalah disebabkan beberapa faktor yang meliputi faktor luaran dan juga faktor dalaman.
3.0 PUNCA PENGANGGURAN
Pengangguran yang melanda pelbagai negara kebanyakannya dimonopoli oleh golongan yang berpendidikan dan bijak pandai atau yang lebih dikenali sebagai graduan. Seperti yang telah dibincangkan pada bahagian sebelumnya, kadar peningkatan pengangguran adalah disebabkan oleh faktor dalaman dan juga faktor luaran. Yang dimaksudkan dengan faktor dalaman ini ialah faktor-faktor yang melibatkan diri dan sikap graduan itu sendiri. Manakala yang dimaksudkan dengan faktor luaran pula ialah yang melibatkan situasi peluang pekerjaan itu sendiri.
Salah satu faktor meningkatnya kadar pengangguran khususnya dalam kalangan siswazah ialah kegagalan institusi pengajian tinggi itu sendiri dalam menawarkan kursus-kursus yang tidak berkaitan dan juga tidak diiktiraf oleh kerajaan. Selain daripada lambakan siswazah, kebanyakan kursus yang disediakan tidak mencapai piawaian yang dikehendaki dalam bidang pekerjaan. Kini terdapat beratus-ratus institusi pengajian yang muncul terutamanya institusi pengajian swasta yang boleh diibaratkan seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan. Hakikatnya lambakan institusi pengajian ini bermain dengan kata-kata apabila menawarkan jurusan yang tidak mendapat pengiktirafan dan memenuhi perspesifikasi yang ditetapkan.
Mengikut kajian Jabatan Perangkaan Negara "Perangkaan Tenaga Buruh Siswazah 2011" kajian pada tahun 1982 hingga 2010, bilangan siswazah yang memasuki pasaran buruh meningkat dari tahun ke tahun kecuali bagi 2007. Bilangan siswazah yang memasuki pasaran buruh pada 1982 hanya 231,800 orang berbanding 2.10 juta orang pada 2010. Trend yang sama dapat dilihat bagi guna tenaga siswazah yang meningkat daripada 228,100 orang kepada 2.03 juta orang dalam tempoh yang sama. Semenjak 1982 hingga 2010, kadar pengangguran terendah dicatatkan pada 1996 (1.5%) manakala kadar pengangguran siswazah tertinggi dicatatkan pada 1987 (5.0%) iaitu semasa kejatuhan ekonomi. Kesan yang sama juga boleh dilihat oleh peningkatan kadar pengangguran siswazah mulai 1998. Walau bagaimanapun, mulai 2005, kadar pengangguran siswazah menunjukkan penurunan daripada 3.8% kepada 3.1% pada 2010.
Rajah 1: Perangkaan utama tenaga buruh siswazah, Malaysia, 1982–2010
Apa yang dapat dilihat, institusi pengajian pada masa kini kebanyakannya lebih mementingkan keuntungan berbanding fungsi yang menawarkan perkhidmatan pendidikan. Akibatnya ramai graduan yang menganggur kerana pihak majikan tidak berminat untuk memberi peluang kepada siswazah yang memiliki kelayakan yang tidak diiktiraf. Selain itu, Kekurangan latihan industri yang disediakan oleh pihak institusi pengajian dengan kerjasama syarikat-syarikat atau pertubuhan bukan kerajaan tidak membantu graduan mengharungi cabaran-cabaran industri. Oleh itu siswazah tidak mendapat pendedahan awal berkaitan dengan prospek pekerjaan dan tidak dapat memenuhi standard yang telah ditetapkan oleh dunia luar. Kesannya tahap saing siswazah adalah rendah dan tidak dapat menandingi persaing daripada institusi yang lain yang banyak memberi latihan industri.
Selain itu, sikap diri siswazah itu sendiri yang memilih kerja juga menyebabkan peningkatann kadar pengangguran pada masa kini. Secara amnya, ramai siswazah mahupun rakyat tempatan tidak mahu bekerja dalam persekitaran yang kotor dan kekosongan itu direbut oleh warga asing. Sikap memilih kerja dalam kalangan belia tempatan itu menyebabkan mereka sukar mencari pekerjaan dan mendorong pertambahan jumlah warga asing di negara ini. Gaji yang berpatutan di bayar kepada pekerja tempatan berbanding dengan pekerja asing, namun mereka hanya bertahan sehingga 2 atau 3 minggu dalam perkhidmatan seperti hospitaliti, pelancongan dan penyediaan serta penjualan makanan. Peluang pekerjaan yang terdapat dalam sektor ini tidak dihargai oleh belia tempatan dan mereka rela menjadi penganggur kerana tidak mahu bekerja dalam sektor yang menjadi tumpuan warga asing.
Selain itu, pengangguran yang berlaku pada masa kini juga berpunca daripada penggantian buruh dengan mesin, kemunduran dalam industri dan kemelesetan ekonomi dunia. Tambahan pula, masalah pengangguran sering kali berlaku dalam ekonomi kerana permintaan agregat adalah kurang daripada penawaran agregat yang dihasilkan oleh faktor-faktor pengeluaran. Oleh itu, pada sebarang masa tertentu terdapat faktor-faktor pengeluaran yang tidak digunakan oleh ekonomi dan ada kalanya kegiatan ekonomi mencapai tingkat yang sangat tinggi sehingga semua tenaga buruh di dalam ekonomi digunakan sepenuhnya keadaan inilah yang sebagai guna tenaga penuh menurut Sodono (1992).
KESAN PENGGANGGURAN
Seperti yang telah dibincangkan pada awal perbincangan, peningkatan fenomena pengangguran boleh membawa impak yang negatif bukan sahaja kepada pembangunan sosial malah turut membantutkan pertumbuhan ekonomi. Berikut adalah dua kesan utama pengangguran iaitu Kesan Negatif Ekonomi dan juga Kesan Negatif Sosial.
4.1 Kesan Negatif Ekonomi
Kesan ekonomi termasuk mengurangkan keluaran negara, penurunan taraf hidup dan sekaligus melambatkan pembangunan negara. Dengan pengangguran yang tinggi juga boleh meningkatkan kadar kemiskinan dalam sesebuah negara.Kesan pengangguran terhadap sosial termasuk pengaruh negatif dalam keluarga dan mewujudkan ketidaktenteraman yang boleh membawa kepada pergaduhan dan penceraian.Ia juga boleh membawa kepada peningkatan jenayah akibat masalah kewangan dan masalah tekanan jiwa dan tiada keyakinan diri. Berikut adalah faktor-faktor bagi kesan pengangguran terhadap ekonomi negara. Faoktor-faktor tersebut adalah :-
Menurunkan taraf kehidupan
Taraf hidup penduduk sesebuah Negara diukur dengan menggunakan pendapatan ber kapita. Sekiranya berlaku pengangguran terlalu tinggi, maka keluaran kasar negara akan berkurangan dan seterusnya akan mengurangkan pendapatan per kapita. Apabila masalah ini berlaku, ianya akan menyebabkan penurunan taraf hidup penduduk disesebuah negara.
Pengurangan keluaran negara
Pengurangan keluaran negara berlaku apabila masalah pengangguran terlalu tinggi. Kurang mahir dalam sesuatu bidang menyebabkan berlakunya pengangguran serta terlalu memilih di kalangan para siswazah dalam mencari pekerjaan.
Kelembapan pembangunan negara
Kekurangan tenaga mahir dan tidak mahir dan saling memilih pekerjaan, akan menyebabkan berlakunya kelembapan terhadap pembangunan sesebuah negara. Apabila pendapatan berkurangan, pihak kerajaan tidak dapat menyediakan prasarana dan kemudahan infrastruktur yang perlu untuk menjana pertumbuhan ekonomi negara.
Mengurangkan pendapatan negara
Pengurangan pendapatan negara disebabkan oleh kerana berlakunya pengangguran yang terlalu tinggi. Ianya menyebabkan pengusaha akan mendapat keuntungan yang kurang serta mengurangkan jumlah cukai pendapatan dan cukai keuntungan syarikat yang dapat dipungut oleh kerajaan dan seterusnya mengurangkan pendapatan negara.
4.2 Kesan Negatif Sosial
Selain daripada kesan negatif ekonomi, peningkatan pengangguran yang melanda Malaysia juga turut memberikan kesan yang buruk kepada pembangunan sosial. Berikut adalah beberapa kesan negatif sosial berikutan dengan fenomena pengangguran.
Mewujudkan keadaan tidak tenteram dalam keluarga
Kesan pengangguran akan menyebabkan kepada ketidak tenteraman dalam keluarga. Pertelingkahan dan pergaduhan yang berlaku di antara ibu dan bapa akan menyebabkan rasa yang dihadapi oleh naka-anak, dan ini menyebabkan kepada proses penceraian.
Peningkatan kejadian anti sosial dalam masyarakat
Akibat dari masalah kewangan yang dihadapi oleh pengangguran, maka mereka sanggup melakukan rompakan, pembunuhan dan lain-lain kegiatan anti sosial untuk mendapatkan wang.
Masalah tekanan jiwa dan tiada keyakinan diri penganggur yang telah lama
Menganggur akan mengalami masalah tekanan jiwa yang hebat dalam kehidupannya. Ia akan sentiasa berfikir bagaimana tanggungjawabnya terhadap keluarga dapat disempurnakan dalam keadaan ia sedang menganggur.
LANGKAH-LANGKAH MENGATASI
Bagi mengurangi kadar peningkatan pengangguran di Malaysia yang melibatkan siswazah, pelbagai usaha dan langkah-langkah telah dipergiatkan. Salah satu daripadanya ialah langkah-langkah yang telah dicadangkan berdasarkan kajian masalah pengangguran dalam kalangan siswazah menurut Jabatan Pendidikan Tinggi iaitu:
Menentukan perimbangan antara kadar proses peralihan struktur daripada ekonomi kepada k-ekonomi dengan penawaran, permintaan tenaga kerja, pengeluaran dan produktivi buruh supaya tidak wujud defisit atau lebihan dalam tenaga kerja
menggubal Dasar Pekerja Asing Negara
Menggubal Pelan Induk Sumber Manusia Negara
Menubuhkan Konsortium Pakatan Tiga Pihak berhubung dengan isu-isu tenaga kerja dan guna tenaga di Malaysia
Memastikan semua dasar berhubung dengan tenaga kerja dan guna tenaga konsisten, lestari dan kurang bersifat ad hoc.
Kerajaan telah menghantar rombongan perdagangan ke luar negara untuk menarik lebih banyak modal asing ke Malaysia. Rombongan ini cuba mengiklankan kelebihan negara jika pemodal asing itu sanggup menanam modal mereka di negara ini. Malah, kerajaan telah cuba menjalankan beberapa projek mega untuk memastikan ekonomi negara berjalan rancak semula. Projek Pembangunan Johor Selatan dan Kereta Api Laju KL-Singapura dijangka mampu meninggikan pertumbuhan ekonomi negara.
Selain itu, kerajaan telah menjalankan pelbagai program untuk memahirkan golongan belia seperti mengadakan program bahasa Inggeris dan mengutamakan penubuhan institut kemahiran dengan negara-negara luar seperti Jerman. Program ini mampu menyediakan satu sumber manusia yang mempunyai kemahiran tinggi untuk bersaing dalam era globalisasi. Kewujudan buruh yang berkemahiran tinggi ini turut menjadikan negara sasaran utama pelabur asing kelak. Kerajaan turut memudahkan urusan pembiayaan perniagaan terutamanya kepada golongan belia. Pihak bank sendiri telah memudahkan urusan untuk mendapatkan pinjaman peribadi untuk membantu belia memulakan perniagaan mereka secara kecil-kecilan. Langkah drastik ini memastikan lebih banyak industri kecil dan sederhana mampu diwujudkan dan menyediakan peluang pekerjaan yang lebih baik dalam tempoh terdekat ini. Belia yang tidak bekerja akan mengambil peluang ini untuk mencuba nasib mereka sebagai ahli perniagaan.
Rancangan bagi menggalakkan penyesuaian dan mobiliti dalam pasaran pekerjaan sangat perlu bagi memastikan komitmen dan pengekalan sumber tenaga kerja serta menggalakkan pembangunan modal insane dan pembelajaran yang berterusan. Pekerja yang berpengalaman dan berusia sangat penting diberi perhatian serta layanan agar kepakaran serta kemahiran mereka dapat dimaksimumkan dan menjadi aset utama kepada sesebuah organisasi. Usaha mengukuhkan lagi kesamaan gender dalam setiap bidang pekerjaan yang bersesuaian hendaklah dilaksanakan agar tidak wujud rasa tidak puas hati kepada mana-mana individu.
Pada masa sekarang, ekoran keadaan ekonomi global yang tidak menentu dan peluang pekerjaan yang semakin terbatas, kerajaan negara kita bakal berdepan dengan dua cabaran atau tuntutan yang besar. Pertama, pihak kerajaan perlu memastikan rakyat mempunyai pekerjaan dan mengekalkan perkerjaan mereka serta lepasan universiti mempunyai tempat dalam pasaran. Masalah yang kedua pula mengekalkan aliran kredit bagi memastikan pemilik perniagaan dapat meneruskan operasi perniagaan dengan dana latihan yang diperuntukkan kerajaan. Oleh itu, masalah pengangguran rakyat diyakini dapat dikurangkan seminimum mungkin pada masa hadapan.
Terdapat ahli ekonomi di setengah-setengah yang mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan dasar perlindungan untuk mengatasi pengangguran di negara mereka. Menurut mereka, dengan menyekat kemasukan barang-barang import, industri tempatan dapat dilindungi dan seterusnya menjamin peluang perkerjaan kepada rakyat tempatan. Secara amnya, ahli ekonomi tidak bersetuju dengan dasar perlindungan kerana ia mengehadkan perkembangan perdagangan antarabangsa dan seterusnya. Di samping itu, apabila sebuah negara mengamalkan dasar perlindungan, negara lain juga akan turut berbuat demikiansebagai tindak balas. Akibatnya, semua pihak akan mengalami kerugiaan.
Menurut Jomo dan Ishak (2003), sesebuah kerajaan itu perlu berhati-hati apabila melaksanakan dasar-dasar tertentu untuk mengatasi masalah pengangguran dengan berkesan. Misalnya, masalah pengangguran di sesebuah negara itu mungkin bukan disebabkan oleh faktor-faktor yang lain seperti dalam kes pengangguran struktur. Oleh yang demikan, dasar yang dibentuk harus sesuai dalam menghadapi jenis pengangguran yang wujud. Dengan mengetahui sifat pengangguran tersebut, kerajaan boleh mengelakkan daripada membuat dasar yang tidak sesuai atau yang kurang berkesan.
Seterusnya, Lai (2000) menyatakan bahawa bagi menangani masalah pengangguran ini, perlaburan perlu diperbanyakkan lagi bagi menambahkan permintaan untuk buruh. Penggunaan intensif buruh perlu digalakkan. Pihak kerajaan boleh menarik pelaburan dari negara asing denga memberi insentif seperti taraf perintis (pengecualian cukai syarikat) dan dengan penyediaan kawasan industri. Pihak kerajaan juga boleh menambahkan mobiliti pekerja. Antaranya ialah dengan menambahkan mobility geografi dan pekerjaan dengan memberikan kemudahan pengangkutan dan kediaman serta latihan semula. Seterusnya, mobility buruh juga boleh ditambah melalui pendidikan terutama sekolah voksional dan teknik untuk menyesuaikan mereka yang mempunyai kemahiran.
Di samping itu juga, pihak kerajaan juga perlu memainkan peranan yang penting untuk menambahkan maklumat tentang peluang pekerjaan dengan mendirikan lebih banyak pejabat pendaftaran buruh di merata-merata tempat. Kerajaan juga perlu menyediakan pelajar-pelajar yang sesuai dengan kehendak ekonomi masa depan. Misalnya bagi mencapai wawasan 2020, kerajaan telah menyusun semula matapelajaran sains dan matematik dari peringkat rendah. Pelan untuk mengurangkan kadar pertambahan penduduk adalah cara yang berkesan sekali untuk mengurangkan pengangguran dalam jangka panjang.
Tambahan pula, dalam menangani masalah pengangguran ini, pihak kerajaan juga telah mengambil beberapa langkah yang bijak dan berkesan. Contohnya seperti baru-baru ini yang mana pihak kerajaan telah memperbanyakkan jawatan kontrak di sektor awam. Sekiranya tahap kerja yang baik dan stabil kakitangan kontrak tadi akan diserap terus ke jawatan tetap sektor awam. Selain itu kerajaan juga mengalakkan siswazah yang menganggur menyambung di IPTA dan IPTS ke peringkat Sarjana dan Phd. Yuran pengajian ditanggung penuh oleh kerajaan untuk setiap individu yang berjaya menyambung pelajaran.
KESIMPULAN
Fenomena pengangguran yang berlaku di Malaysia khususnya yang melibatkan para siswazah sememangnya merupakan satu kerugian yang amat besar kepada perkembangan dan pertumbuhan ekonomi negara. Hal ini kerana, pulangan yang diharapkan tidak dapat diperoleh berikutan dengan kegagalan para siswazah menempah nama dalam bidang pekerjaan. Sungguhpun begitu, masalah pengangguran di Malaysia masih lagi berada dalam keadaan terkawal berikutan dengan pelbagai usaha yang telah dijalankan dan dilaksanakan oleh kerajaan.
BIBILIOGRAFI
Abdul Kader, M.Y. (2003). Ekonomi Makro. Pearson Malaysia Sdd Bhd.
Jabatan Perangkaan Negara (2013): Perangkaan Tenaga Buruh. Kuala Lumpur. Keluaran Mac.
Jomo, K.S & Ishak, S. 2003. Makroekonomi. Utusan Publications & Distributions Sdn. Bhd.
Kamus Dewan Edisi Keempat.(2010). Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Lai, M.C. 2000. Siri Teks STPM Makroekonomi. Pearson Education Malaysia Sdn. Bhd.
Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia ke VII (PERKEM VII), Transformasi Ekonomi Dan Sosial Ke Arah Negara Maju, Ipoh, Perak, 4 – 6 Jun 2012.
Slamon, J. (1999). Economics (Edisi Keempat).
Siti Rohani Y. (1990). Kemelesetan Ekonomi. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan pustaka.
Unit Perancangan Ekonomi.2011.Sejarah Ekonomi. Portal Rasmi EPU. Jabatan Perdana Menteri.
Pautan Luar:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0303&sec=Rencana&pg=ot_02.htm#ixzz2ehW9H8BP
www.google.com
Page " 16